Aku perempuan. Dia perempuan. Seorang lelaki menjadi pertaruhan.
Ceritanya sekarang, dia memang milik lelaki itu. Lelaki yang pernah datang bertamu dalam hati dua tahun yang lalu, lelaki yang aku mungkin dah lupa jejak cerita kami sekiranya sekarang dia tidak muncul kembali dalam carta hati.
Mengikut kronologi, aku lebih kenal lelaki itu. Senyuman dia terlalu aku kenal, gelak tawa dia selalu aku dengar. Aku lebih mengenalinya. Dan aku tidak tahu apa yang terjadi, anasir jahat yang dinamakan cinta datang kembali. Cinta bukanlah sesuatu yang keji, tetapi mencintai kepunyaan perempuan lain dalam diam, bukan semata prinsip aku bila bercinta. Aku jenis, hmm tak kacau hak milik orang. Kerana aku tahu bagaimana rasanya sakit ditipu, rasa sakit bila diduakan. Aku rasa tidak sempurna, penuh cacat cela hinggakan si dia berpaling ke hala baru.
Tapi perasaan ini. Aku tak tahu jika aku patut layankan atau biarkan ia berlalu pergi. Aku tahu ini salah, tidak perlu panjang berceramah. Bukan ini yang aku mahu. Tetapi perasaan dua tahun dulu datang kembali. Sialan, perasaan ini tak perlu ada. Aku tak mungkin langgar prinsip hidup aku semata-mata kerana seorang lelaki. Tak mungkin aku akan gadaikan semua itu untuk seorang lelaki.
Sayangnya, aku masih perempuan. Berakal satu, bernafsu sembilan. Mana ada cair bila dia tiupkan ayat ayat manis ke cuping telinga. Mana ada perasaan cinta apabila diungkit kembali kisah lama. By word mana ada, aku maksudkan sebaliknya. Tolong jangan jadi lurus sangat. Dan semalam, selepas berbulan lamanya halwa telinga tidak dijamu dengan suara seorang lelaki yang berposisi istimewa dalam hati, terserap terus perasaan lama. Aku rindu suara itu, aku rindu gelak tawa itu, aku rindu panggilan itu. Aku rindu menyebut namanya bila ada yang bertanya siapa yang beraja di hati. Dan dia sendiri bilang, dia tidak pernah segembira ini sewaktu berbual dengan si pemilik hati. Untuk beberapa saat, aku tersentak. Apa perasaan yang disebelah sana jika dia dengar lelaki yang dia sayangi sepenuh hati berkata begini, kepada seorang perempuan lain yang dahulunya pernah muncul dalam kisah hidup lelaki itu sendiri?
Ah lelaki. Ayat manis kalah air gula. Capiche. Kalau diikutkan, aku pun memang sudah kalis dengan taktik lapuk para lelaki. Tetapi yang ini aku sendiri pun tak boleh nak faham. Aku tak faham kenapa aku masih membiarkan dia datang kembali walaupun aku tahu aku dan dia, tak mungkin terjadi. Oh ya, aku masih perempuan. Sekeras mana aku menentang, sepayah mana aku menangkis, masih bisa diruntuhkan oleh seorang lelaki. Mungkin aku perlu bina kembali benteng-benteng ego, supaya perasaan ini tidak menular ke tulang saraf terus ke hati.
Ah tidak. Ego aku masih ada. Perasaan ini akan aku tapis jauh-jauh, dan mungkin aku sendiri akan undur diri kerana aku bukannya pemilik mutlak hatinya. Semoga kau bahagia, tinggalkan aku. Biar aku cari jalan sendiri untuk hidup, dan sekiranya memang tertulis aku pemilik tulang rusuk kiri kau, biarlah bertahun lama pun, kita masih akan bersama walaupun berjuta kilometer memisahkan kita. Selamat malam wahai pencuri hati.


Hai nanad sayang... done follow you dear. if possible,follow me back,keyh.
ReplyDeletenice penceritaan kamu. Macam budak satera. kehkehkeh.
fatinmdnoor.blogspot.com