Sunday, November 6, 2011

Siapa Tuhan Kau?

Kalau dah namanya manusia, bila senang Tuhan dilupa.
Tabur duit, enjoy sini enjoy sana, iman dan akidah tumbang entah kemana.
Yang kekasih sibuk bercengkerama, yang tua sibuk mencari pucuk muda.
Bila senang, semua tak sedar dunia.


Tuhan nampak, Tuhan dengar, Tuhan tahu.
Setiap gerak geri dan tingkah lakumu, Dia perhatikan satu-persatu.
Aku jamin, kau tahu hakikat itu.
Masa kau kecil, ibumu seringkali mengingatkanmu dengan kewujudan Yang Maha Satu.
Bila dewasa, pengetahuanmu kau lempar semuanya ke batu.


Orang pergi masjid, kau pergi bersuka ria.
Teguk najis syaitan, peluk betina merata-rata.
Orang pergi mengaji, kau pergi berjudi. 
Bila kau kalah, ibumu sendiri yang kau zalimi.


Kau sibuk ikut arus dunia, apa tujuan kau hidup di bumi Dia sebenarnya?


Mati. Fenomena yang pasti, kau juga tak mungkin terkecuali.
Sedangkan di penghujung dunia ini, Malaikat Izrail pun cabut nyawa sendiri.
Dari mana kau datang? Kepada Dia juga kau kan kembali.


“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. dan Sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, Maka sungguh ia Telah beruntung. kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” (Ali Imran: 185)


Kau takut? Aku pasti, itu cuma perasaan sementara yang datang bertamu di hati.
Tatkala kau bangun keesokan hari, kau pasti sudah lupa akan mati.
Kau mahu tunggu Tuhan terbalikkan dunia baru kau buka mata hati.
Baru kau tahu Tuhan wujud, baru kau menggigil bila ingat mati.


Sebelum pintu taubat ditutup, baiklah kiranya kau segerakan apa yang patut.
Bara Jahannam sedang menunggu penghuninya untuk diseksa.
Jantan betina semua sudah tiada beza. 
Yang namanya penghuni Neraka itu semuanya sama. 
Sebab itu aku bilang, Tan Sri Yang Berhormat segala itu cuma kedudukan dunia.


Buka mata, lapangkan dada. 
Al-Quran masih ada, pernahkah kau buka?
Lepaskan dirimu dari lembah syaitan durjana. 
Sedarlah, lusa kau mati, kubur tempatnya.
Dan bila Munkar Nakir mengeluarkan pertanyaan berbisa, mampukah mulut itu berkata-kata?
Dikirimu Neraka, dikananmu Syurga.
Pilih yang terbaik untukmu, wahai manusia.


Dan jika ditanya siapa Tuhanmu,
Jawab dengan penuh rasa cinta, Allah Yang Satu.

2 comments: