Thursday, May 26, 2011

Kisah Gadis Dan Bintang.

Gadis ini bukannya luar biasa. Wajahnya seelok elok ciptaan Tuhan tetapi hatinya sekuat tembok besi. Gadis ini percaya wujudnya cinta sejati yang kekal abadi. Dia percaya Tuhan tidak pernah meninggalkan dia sendirian.

Sepanjang hidupnya, dia hanya mencintai seorang lelaki. Dan telah ditakdirkan Tuhan, lelaki itu pergi meninggalkan gadis tersebut selamanya-lamanya. Gadis itu terkapai kapai mencari mana hala tuju selama beberapa tahun mencari seorang Adam yang boleh membimbing dirinya sepanjang hayat.

Semenjak pemergian lelaki yang dicintai, gadis ini seringkali duduk sendirian di malam hari sambil memandang bintang. Kadangkala dia bercakap sendirian dengan bintang bintang yang bersinar di langit seolah olah bintang tersebut tahu berinteraksi. Akan tetapi, dia mempunyai satu keajaiban yang mungkin hanya kebetulan. Jika malam itu dia tidak bersendirian bersama bintang bintang, langit seakan akan gelap dan kosong. Tiada sebutir bintang pun yang berkelip. Dia akan duduk di bawah hamparan rumput dan bernyanyi nyanyi kecil lagu Belaian Jiwa yang dahulunya selalu menjadi permainan di mulut lelaki kesayangannya. Kadangkala dia cuma duduk memeluk lutut dan mengalirkan airmata tanpa sebarang kata. Kadang kadang dia mengira bintang di langit dan menulis nama lelaki kesayangannya menggunakan ranting kayu. Sekali imbas, dia seakan tidak siuman. Hakikat sebenarnya, dia kesunyian. Dia seringkali meluahkan masalahnya kepada bintang bintang dan menangis sendirian. 

Hinggalah suatu saat, muncul satu lelaki yang seakan membawa cahaya. Kini dia tidak lagi bersendirian, dia akan duduk bersama-sama lelaki itu setiap malam dan tiada lagi airmata yang mengalir di pipinya. Lelaki tersebut seolah olah memahami naluri gadis itu dan seringkali bercerita tentang bintang, mengira bintang di langit dan berkongsi masalah dengan gadis itu. Kadangkala, lelaki itu akan membawa gitar akustik kesayangannya dan menyanyikan lagu lagu indah di bawah sinaran bulan dan bintang untuk gadis itu. 

Tetapi semuanya hanya seketika. Lama kelamaan lelaki itu mula sibuk dengan masalah hidupnya sehingga gadis itu dipinggirkan. Dahulunya airmata dibazirkan merindui seseorang yang telah pergi, kini digunakan untuk menangisi seorang lelaki yang mula menghilang dari sisi. Lelaki tersebut alpa dengan rakan rakannya, ke sana ke sini menikmati indahnya dunia. Si gadis terus menunggu di tempat biasa mereka selalu bertemu, namun lelaki tersebut tidak pernah muncul lagi di situ. Dia kembali kepada hidupnya yang dulu, berteman dengan bintang yang tiada nyawa. Menangis sendirian, berharap lelaki yang dirindui akan datang kembali. Lelaki itu berubah dan semakin menjauh. Namun si gadis tidak pernah jemu. Gadis ini terus menangis dan menunggu.

Hinggalah di suatu malam, lelaki itu muncul tanpa diduga. Si gadis mengesat airmata dan tersenyum gembira lantas memeluknya. Tetapi beberapa saat kemudian, dakapannya ditolak lembut. Si gadis kembali menangis dan bertanya kenapa dia ditolak sebegitu. Kemudian seorang gadis muncul dan jari jemari mereka bertaut. Airmata si gadis semakin laju, tidak faham dengan apa yang berlaku. Lelaki tersebut mengusap pipi si gadis, cuba menghapuskan airmata yang tiada henti lalu berkata, "Maaf, kita cuma boleh jadi kawan je. Awak cari orang lain yang boleh sayang awak macam dia sayang awak." Lelaki itu berlalu pergi dengan wajah separuh kesal. Si gadis masih berdiri di situ, menangis tanpa henti. Sendi sendinya menjadi lemah dan kaku, terduduk sambil menangis yang tiada sedu. Dia menangis sepanjang malam di situ, disaksikan bintang bintang dengan cahaya yang lesu.

Malam malam seterusnya, dia duduk di bawah hamparan bintang dengan airmata yang tiada henti mengalir. Dia mendongak memandang bintang, membayangkan lelaki yang dicintai masih di sisi, menyanyikan lagu indah sambil memetik gitar kesayangannya. Dia membayangkan saat dimana lelaki itu memegang tangannya dan berjanji setia untuk menjaga dan melindunginya. Setiap malam dia akan melakukan perkara yang sama hinggalah suatu malam dia berbaring menghadap bintang sambil menangis. Dia memejamkan matanya dan menghela nafas dingin untuk yang terakhir kalinya.

Dan mata bundar itu tidak pernah lagi terbuka, tiada lagi udara yang dihela. Hujan turun selebat-lebatnya dan bintang tidak lagi kelihatan bersinar di angkasa.

Malam malam seterusnya, bintang hanya bersinar lesu kerana tiada lagi yang menunggu. 


















Lelaki itu ditinggalkan oleh teman wanitanya sama seperti dia meninggalkan gadis itu dan kini lelaki itu hidup dalam penyesalan yang tiada kesudahan.

3 comments:

  1. fuck.

    kenapa. kau. buat. aku. sedih.

    ReplyDelete
  2. ini kisah benar. errr.. maaf. hehe.

    ReplyDelete
  3. suke nukilan akak ni.akak mmbuatkan saya syg akak plusplus la mcm ni.. err

    ReplyDelete